KUALA LUMPUR – Remaja berusia 16 tahun antara ditahan kerana disyaki terlibat sebagai ahli sindiket pusat panggilan penipuan bagi tawaran kerja tidak wujud dalam serbuan di empat premis di Kuching, Sarawak.
Dalam serbuan tersebut, seramai 65 warga tempatan ditahan berusia dalam lingkungan 16 hingga 50 tahun termasuk ketua sindiket iaitu seorang lelaki berusia 45 tahun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, modus operandi mereka adalah dengan menggunakan aplikasi Monday untuk memasukkan data pelanggan yang berminat untuk membuat kerja sambilan.
Katanya, mereka juga menggunakan aplikasi Telegram, LinkedIn dan Facebook untuk mencari dan berkenalan dengan mangsa.
“Siasatan awal mendapati, sindiket ini menyasarkan mangsa dalam kalangan warga Australia dan Amerika Selatan seperti Brazil, Peru, Paraguay, Chile dan lain- lain.
“Mangsa yang berminat akan diberikan pautan bagi tujuan pendaftaran dan menyelesaikan tugasan yang diberikan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menambah, mangsa akan dikenakan bayaran bagi setiap tugasan yang diberikan dan dijanjikan komisen beserta pulangan semula wang bagi setiap tugasan yang dilengkapkan.
“Penugasan yang perlu dilakukan adalah memberikan review dan mempromosikan tiket penerbangan melalui laman web cheap-airflight.live yang dikendalikan pihak sindiket,” jelas beliau.
Ramli berkata, empat premis yang diserbu adalah milik seorang individu sama dan individu tersebut mendakwa telah menyewakan premis miliknya dan menafikan pengetahuannya berkaitan aktiviti jenayah yang dilakukan di dalam premis tersebut
“Bagaimanapun, pemilik premis gagal mengemukakan sebarang perjanjian sewaan yang boleh mengesahkan dakwaannya.
“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, pihaknya turut menumpaskan satu sindiket penipuan perjudian dalam talian yang mencipta akaun palsu dan mencari mangsa di media sosial dalam serbuan di di sebuah premis di Genting Highlands, Pahang, Isnin lalu.
Menurut Ramli, sindiket ini dipercayai akan mencipta akaun palsu di laman sosial seperti aplikasi Tantan, Bumble Dating, CMB Dating dan Tinder untuk berkenalan dan mencari mangsa sebelum menawarkan permainan judi dalam talian.
Kata beliau, mangsa yang terpedaya kemudiannya akan ditawarkan permainan judi palsu melalui laman sesawang https://luxewin.co/.
“Seramai empat individu ditahan, pada awalnya, mangsa akan diberikan kemenangan mudah dan dibayar pulangan yang dijanjikan.
“Namun setelah bayaran dibuat, hadiah kemenangan tersebut gagal ditebus,” katanya
Mengulas lanjut, Ramli berkata, sindiket penipuan ini turut menyasarkan rakyat tempatan sebagai mangsa mereka.
Ujar beliau, hasil serbuan itu, pihaknya turut merampas lima unit notebook selain telefon bimbit (22 unit) dan kad akses (tiga).
“Empat suspek yang ditahan telah direman tiga hari sehingga esok manakala seorang lagi ditahan selama dua hari bagi siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE.