AMPANG – Bakal menimang seorang lagi cahaya mata pada usia melangkaui angka jubli emas, penyanyi rock Datuk Awie menasihatkan orang ramai termasuk diri sendiri agar sentiasa menjaga kesihatan diri.
Ibaratnya kata Awie, 55, atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, jangan sudah memandai-mandai ‘menanam benih’ namun membiarkan perkara penting lain terkontang-kanting.
“Saya pernah cakap dengan isteri saya akan jaga badan dan sihatkan badan. Kalau tidak nanti pergi sekolah hantar anak-anak, orang fikir saya datuk mereka bukan bapa (tertawa).
“Itu sebenarnya satu cabaran untuk si tua macam saya menjaga badan. Sesiapa yang dapat anak pada usia tua seperti saya, inilah satu cabaran.
“Jangan kau buat anak, lepas itu kau sakit. Kasihanlah kat isteri dan anak-anak nanti,” katanya kepada Kosmo! Online semalam.
Sebagai seorang lelaki yang dikurniakan anak yang ramai, Awie sentiasa berdoa ke hadrat Ilahi agar kesihatannya berada di tahap yang terbaik demi orang-orang tersayang.
“Saya sentiasa fikir rezeki yang Allah bagi ini adalah cabaran untuk saya jaga kesihatan elok-elok membesarkan anak dengan sebaik mungkin. Insya-Allah.
“Kalau sengaja (buat anak), itu berdosalah. Menganiaya orang, menganiaya isteri,” kata Awie lagi.
Ditanya tentang reaksi anak-anaknya yang lain apabila berita tentang dirinya bakal sekali lagi menjadi seorang bapa dibocorkan kepada umum, jawab Awie: “Adoi, itulah orang ingat dapat menantu atau cucu rupa-rupanya dapat baby.
“Anak semua macam reda sahajalah. Lagi pula, isteri saya sekarang, dia baru ada seorang anak dan dia memang nak anak. Dia kalau boleh nak seorang lagi sekurang-kurangnya dapat sepasang.”
Terdahulu, Awie mendirikan rumah tangga bersama Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin pada 7 Oktober 2016. Mereka kemudiannya dikurniakan cahaya mata sulung pada 2020.
Awie sebelum itu pernah berkahwin dengan Rozana Misbun pada 20 Jun 2005, dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Putra Ahmad Merrah, Putra Ahmad Rezzki, dan Puteri Qasseh Antasha. Mereka bercerai pada 1 November 2014.
Awie juga memiliki dua anak hasil perkahwinan pertamanya dengan penyanyi, Arni Nazira iaitu Putri Aleeya Antasha, 23 dan Putri Aleefa Antasha, 21. – KOSMO! ONLINE