PETALING JAYA – Hajoon Capital Sdn. Bhd. syarikat yang terlibat dalam dagangan kad permainan (TCG) sedang membuat perancangan untuk membuka sebuah pusat komuniti TCG pertama di negara ini, khususnya di kawasan strategik di Lembah Klang.
Pengarah TCGKL, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham berkata, ini bertujuan untuk menambah nilai perkhidmatan serta mengukuhkan lagi imej syarikat dalam industri permainan kad dagangan serta menarik minat pemain dari luar negara berkunjung ke Malaysia bertujuan untuk menambah pelaburan dalam bidang tersebut.
“Pelaburan dalam bidang ini adalah melalui pembelian kad permainan dagangan yang mereka minati.
“Jika individu berminat untuk menaikkan lagi nilai kad, mereka boleh lakukan grading atau dapatkan tandatangan illustrator bagi kad tersebut dan menjualnya pada kadar yang lebih tinggi.
“Namun, kebanyakan komuniti menjadikan ia sebagai hobi berbanding pelaburan,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.
Selain itu, Ikmal Hazlan menjelaskan, pada tahun ini, syarikat telah menganjurkan konvensyen kad dagangan pertama di Kuala Lumpur, TCGKL.MY dan ia telah mendapat sambutan menggalakkan daripada kumpulan sasarannya.
Menurut beliau, TCGKL.MY menerima kunjungan daripada pelbagai sektor dalam industri permainan kad dagangan dari seluruh dunia untuk menyertai acara tandatangan yang diadakan dalam konvensyen tersebut.
“Industri yang semakin berkembang ini merupakan cara terbaik untuk melibatkan diri dan mempamerkan barang koleksi mereka kepada bakal individu.
“Tahun pertama TCGKL.MY yang dianjurkan di Malaysia berjaya mengumpulkan semua pengumpul sedia ada dan juga pemain baharu dari seluruh Malaysia dan juga dari negara jiran.
“Kami berbesar hati untuk menawarkan sesi eksklusif dengan salah seorang Illustrator Pokemon TCG yang terkenal, Kouki Saitou yang telah menarik ramai peminat antarabangsa untuk melawat dan menyertai TCGKL tahun ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE