GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menjelaskan seorang bekas Ketua Menteri Pulau Pinang bertanggungjawab untuk memberi sokongan penuh kepada pucuk pemerintahan semasa yang dipilih rakyat melalui sistem demokrasi.
Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata, ini termasuk menghormati segala keputusan, hala tuju dan juga corak pucuk kepimpinan serta barisan kepimpinan semasa demi kepentingan rakyat serta kedaulatan Pulau Pinang secara keseluruhan.
“Kerajaan negeri sentiasa mengamalkan sikap terbuka dalam menerima teguran dan kritikan dari mana-mana pihak yang disalurkan melalui saluran yang betul dan rasmi.
”la dianggap sebagai semak dan imbang yang boleh memberi manfaat penambahbaikan ke atas penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Kon Yeow menjawab soalan Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk) mengenai peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh bekas Ketua Menteri demi kepentingan negeri dan rakyat Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, sebarang usaha untuk campur tangan dan mempengaruhi keputusan-keputusan kerajaan negeri haruslah dielakkan. – KOSMO! ONLINE