KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini menganjurkan PNB Planet Cyber 2023 buat julung kalinya sebagai sebahagian daripada inisiatif Kumpulan untuk memupuk kerjasama antara industri dalam menangani isu-isu keselamatan siber.
Bertemakan ‘Menjamin Keselamatan Masa Depan: Meningkatkan Daya Tahan Siber’, acara tersebut dianjurkan selaras dengan komitmen PNB untuk melindungi keselamatan data dan privasi pemegang unit serta pemegang kepentingan Kumpulan.
Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, ketahanan siber adalah penting dalam dunia digital hari ini kerana ancaman siber merupakan risiko yang berterusan dan sentiasa berubah.
“Ketahanan siber bukan sahaja tertumpu kepada langkah pencegahan dan pertahanan terhadap kemungkinan serangan, tetapi juga keupayaan organisasi untuk menyesuaikan diri, pulih dan beroperasi kembali apabila berlaku breach atau pelanggaran.
“Justeru, sudah tiba masanya untuk pemain industri bekerjasama untuk berkongsi pandangan dan strategi serta sentiasa mencari penyelesaian bagi mengukuhkan keselamatan organisasi,” katanhya pada acara tersebut, yang dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.
Pada majlis sama, Ahmad Fahmi turut melancarkan Hab Inovasi PNB yang dibangunkan oleh pasukan teknologi PNB, ia berfungsi sebagai platform untuk warga kerja PNB menyumbang idea sebagai solusi yang lebih mampan untuk kemajuan syarikat.
PNB Planet Cyber 2023 disertai oleh 300 peserta dan 10 pempamer, termasuk Amanah Saham Nasional Berhad, Heitech Padu Berhad, Microsoft, ASK, Mandiant-Google, E-Lock Corporation Sdn. Bhd., PwC Malaysia, Bluesify Solutions Sdn. Bhd., CyberSecurity Malaysia, Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Imperva, Jabatan Maklumat & Keselamatan Siber PNB dan Deloitte.