fbpx

Pengkomersialan pengeluaran bawang merah mula awal tahun depan – MARDI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Zabawi.

PETALING JAYA – Pengkomersialan pengeluaran bawang merah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan bermula awal tahun hadapan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, berkata, MARDI kini sedang giat mengkomersialkan pengeluaran benih dan bahan tanaman utama bawang merah dalam usaha meluaskan tanaman berkenaan dalam negara.

Usaha berkenaan katanya, tertumpu kepada pengeluaran benih dan peluasan kawasan di plot-plot usahawan tani.

“MARDI kini dalam fasa permulaan dengan menghasilkan benih-benih bawang dari bebawang yang ditanam di sebidang tanah berkeluasan satu hektar di Ibu pejabat MARDI untuk kita edarkan kepada petani-petani dikenal pasti untuk mereka mulakan penanaman bawang.

“Tahun hadapan, MARDI dengan bantuan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga bercadang untuk kembangkan plot-plot tanaman bawang sehingga 20 hektar kepada usahawan tani yang berminat di seluruh Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mohamad Zabawi berkata, pihaknya menyasarkan keluasan berkenaan ditingkatkan kepada 100 hektar menjelang tahun 2030.

“Selain itu, kita berhasrat untuk tingkatkan kepada 40 hektar pada 2025.

“Jika setiap hektar tanah dapat hasilkan bawang kering sebanyak lapan tan, 40 hektar boleh dapatkan 320 tan bawang, kita jangka negara mampu kurangkan kebergantungan import dari negara luar dalam masa lima tahun,” ujarnya.

Baru-baru ini katanya, MARDI turut mengumumkan kerjasama strategik dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) untuk mewujudkan pusat pengeluaran benih bawang di Perak.

“Ia akan dikendalikan oleh usahawan tani di bawah PPPNP dan akan membekalkan benih kepada pengeluar bawang merah di Perak yang berminat.

“Untuk permulaan, seramai 17 orang usahawan telah menjalani kursus pengeluaran bawang di MARDI sebagai langkah awal pemindahan teknologi kepada golongan sasar,” tambahnya.

Tambah beliau, MARDI optimis penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan mampu mengurangkan kebergantungan import bawang negara dalam tempoh lima tahun.

“Hasil daripada kajian pengadaptasian dan penilaian terhadap koleksi bahan genetik kajian terdahulu, koleksi pasaran tempatan, syarikat biji benih dan agensi penyelidikan antarabangsa, tiga varieti bawang merah telah berjaya dilancar bersempena Show Tech MARDI 2023 pada Ogos lalu iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3,” jelasnya – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI