JAKARTA – Sepasang pengantin baharu di Malang, wilayah Jawa Timur menjadi perhatian pengguna media sosial selepas diarak menggunakan jentolak pada majlis persandingan mereka, lapor laman berita Suara.com semalam.
Dalam video yang dimuat naik di Instagram itu, rombongan pengantin dilihat berjalan di sekeliling jentolak tersebut sambil membawa pelbagai jenis hantaran.
Jentera berat itu dihias dengan dekorasi bunga dan reben pada bahagian hadapan.
Bahagian bilah hadapan pula dilapik dengan kain berwarna merah sebagai alas tempat duduk pasangan pengantin.
Kedua-dua pengantin yang berpakaian serba putih dilihat duduk di atas bilah hadapan sambil tersenyum.
Video tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Jentolak sebenarnya mahal untuk disewa selama beberapa jam,” kata seorang netizen.
“Bos jentera berat,” kata pengguna lain. – AGENSI