fbpx

Pasangan 35-39 tahun paling banyak hadapi konflik rumah tangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Temenggong, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz (tiga dari kiri) dan Rohani (dua dari kiri) semasa Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Mydin Mall, Tunjong di Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Pasangan suami isteri berusia 35 hingga 39 tahun dikesan paling ramai menghadapi konflik atau masalah sehingga rumah tangga mereka retak sebelum berakhir dengan perceraian.

Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, berdasarkan kajian dan laporan, lebih 56.2 peratus perceraian dalam kalangan golongan lelaki berpunca daripada tiada persefahaman, isteri curang (11.8 peratus) dan campur tangan mentua atau ipar duai (10 peratus).

Menurut Rohani, 38 peratus perceraian dalam kalangan wanita pula berpunca daripada tiada persefahaman, pasangan curang (20.5 peratus), pasangan tidak bertanggungjawab (15.2 peratus).

Selain itu, punca lain adalah campur tangan ipar duai (6 peratus), masalah kewangan (4.7 peratus) dan enggan dimadukan (2.8 peratus)

“Konflik dihadapi pasangan itu selepas tempoh perkahwinan lima hingga 10 tahun. Mereka akan diberikan sesi kaunseling terlebih dahulu dengan dibantu 18 kaunselor dan dua panel di seluruh negara,” katanya selepas Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Tunjong di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rohani memberitahu, pasangan juga akan dibantu mengikut kesesuaian masalah konflik yang dihadapi mereka.  LPPKN berhasrat untuk memastikan pasangan masing-masing mengembalikan semula kasih sayang bagi mengelak perceraian.

“Selain itu, masalah rumah tangga yang sering dihadapi golongan berusia dalam lingkungan tersebut antaranya pasangan terlibat dengan jenayah, kewangan, tiada zuriat dan masalah kesihatan pasangan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI