VALENCIA – Juara dunia lapan kali, Marc Marquez membuat debut saingan MotoGP ketika sesi ujian di Valencia pada 2012 bersama pasukan utama Honda selepas dinaikkan pangkat apabila menjulang gelaran dunia ketika itu.
Dia menghabiskan masa selama 11 musim bersama pengeluar dari Jepun itu dengan memenangi 59 aksi grand prix dan merangkul enam gelaran dunia MotoGP antara 2013 hingga 2019.
Bagaimanapun, selepas mengalami kecederaan patah lengan ketika aksi Grand Prix Sepanyol pada 2020, Marquez terus berdepan kesukaran untuk mengembalikan kegemilangannya termasuk musim ini hanya berjaya meraih satu podium dalam 20 pusingan, malah terlibat dalam kemalangan sebanyak 29 kali.
Situasi itu menyebabkan Marquez membuat keputusan meninggalkan Honda dan memilih untuk mengemudi jentera Ducati bersama pasukan satelit, Gresini Racing untuk saingan musim depan.
Selepas berakhirnya saingan pusingan terakhir di Valencia Ahad lalu, Marquez diberikan kebenaran oleh Honda untuk menyertai sesi latihan bersama Gresini dan buat pertama kalinya menunggang jentera Ducati sebentar tadi.
Marquez tiba di litar Valencia dan mencuba jentera Ducati yang dipercayai digunakan oleh Johann Zarco untuk bersaing sepanjang musim ini bersama Pramac Ducati.
Tidak ada maklum balas diterima daripada Marquez selepas sesi ujian pertamanya itu selepas dipercayai dia perlu menghormati kontraknya bersama Honda yang hanya akan berakhir pada hujung tahun ini.
Sesi ujian kali ini juga menyaksikan pelumba Mooney VR46, Luca Marini membuat debut bersama Repsol Honda bagi mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Marquez.
Selain itu, Zarco juga mencuba jentera milik LCR Honda yang akan diwakilinya musim depan, manakala pelumba Yamaha, Franco Morbidelli pula dilihat berada di pit pasukan Pramac untuk mencuba jentera pasukan itu.
Alex Rins pula akan menguji jentera Yamaha buat kali pertama, manakala juara dunia Moto2 akan membuat debut bersama jentera MotoGP milik pasukan Tech3 GasGas dan Fabio Di Giannantonio bersama pasukan VR46. – KOSMO! ONLINE