SIBU – Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan terapung di celah feri di perairan Sungai Maaw, Batang Igan di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Sibu, Andy Alie berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu pada pukul 9.52 pagi dan segera menggerakkan anggota ke lokasi berkenaan.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba membawa mayat mangsa ke tebing sungai dan mengangkat menggunakan pengusung,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, identiti mayat belum dikenal pasti dan diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili memberitahu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – KOSMO! ONLINE