GEORGE TOWN – Kaum lelaki dikenal pasti sebagai mangsa keganasan rumah tangga di Pulau Pinang apabila sebanyak 64 daripada sejumlah 288 kes terbabit telah direkodkan di sejak Januari hingga September lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Lim Siew Khim berkata, berdasarkan rekod Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mangsa keganasan rumah tangga ini tidak hanya melibatkan wanita malah lelaki turut menjadi mangsa.
”Berdasarkan rekod PDRM, sebanyak 450 kes keganasan rumah tangga telah direkodkan di Pulau Pinang bagi tahun 2022, di mana sebanyak 105 kes membabitkan lelaki dan 346 kes mangsanya adalah wanita.
“Sehingga September 2023 sebanyak 288 kes telah direkodkan di mana daripada keseluruhan kes, 64 kes yang dilaporkan melibatkan lelaki (sebagai mangsa) manakala 224 kes pula wanita,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Siew Khim (DAP-Sungai Pinang) menjawab soalan Lee Boon Heng(PKR-Kebun Bunga) berhubung isu keganasan rumah tangga di Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Siew Khim berkata, keganasan rumah tangga adalah antara isu sosial yang sering berlaku sehingga menjadi norma dalam kalangan masyarakat.- KOSMO! ONLINE