fbpx

Konflik Palestin-Israel: Israel berisiko kalah perang di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEBERAPA kereta kebal tentera Israel musnah ketika menentang Hamas di Gaza baru-baru ini. - Foto Media Sosial/Al Mayadeen

BANDAR GAZA – Cara Israel mengendalikan krisis tebusan selepas 50 hari perang tercetus membayangkan Rejim Zionis berisiko tewas di Semenanjung Gaza, lapor akhbar The Sunday Times kelmarin.

Israel melakukan pertukaran tebusan dengan Hamas secara berperingkat selepas kedua-dua pihak bersetuju melaksanakaan gencatan senjata kemanusiaan empat hari bermula Jumaat lalu.

Tidak lama selepas kumpulan Hamas melancarkan Operasi Taufan Al-Aqsa, Rejim Zionis mengaktifkan Artikel 40 undang-undangnya sekali gus mengisytiharkan perang dan mengerahkan tentera simpanannya.

Berdasarkan data yang dikeluarkan, Israel mempunyai kekuatan 550,000 askar dan berperang menentang sayap tentera Hamas, Briged al-Qassam yang mempunyai anggaran 25,000 pejuang di Gaza.

Di sebalik kelebihan kekuatan dan kelengkapan ketenteraan yang tidak dapat dipertikaikan, Israel hilang kawalan ke atas ­situasi tebusan itu, lapor The Sunday Times.

Menurutnya, situasi pertukaran tebusan memberikan Hamas kelebihan dan mereka mahir menggunakan kelebihan tersebut.

Berikutan tekanan daripada negara-negara serantau, masyarakat antarabangsa dan Amerika Syarikat (AS), Hamas sedar Israel akan dipaksa untuk bersetuju melaksanakan genca­tan senjata dan pertukaran tebusan dengan tahanan Palestin.

Hamas melakukan usaha terbaik untuk mendapatkan keuntungan politik yang maksimum daripada situasi tersebut.

Kesangsian Washington terhadap perang agresif Israel sebagai strategi berkesan untuk membawa pulang tebusan diculik Hamas terserlah semasa pertemuan 18 Oktober lalu antara Presiden Joe Biden dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Pembebasan dua rakyat AS yang ditawan Briged al-Qassam membawa kepada sokongan Washington kepada cadangan Qatar supaya gencatan senjata dilaksanakan dan rundingan berlangsung antara kedua-dua belah pihak.

Ia secara tidak langsung menandakan bahawa AS menganggap perang oleh Tel Aviv bukan lagi alternatif tunggal untuk menyelesaikan krisis tersebut.

Utusan AS ke Asia Barat, Brett McGurk menubuhkan sebuah pasukan khas di Washington yang berhubung rapat dengan pejabat Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani untuk merumuskan dan mempromosikan pakej gencatan senjata, bermula pagi Jumaat lalu.

Israel bukan pihak utama yang berusaha untuk mencapai persetujuan gencatan senjata itu.

Menghadapi tekanan domestik berhubung situasi tebusan, Netanyahu pula berusaha untuk mendapatkan semula sokongan penduduk Israel dengan mencadangkan lanjutan gencatan senjata di Gaza dengan pembebasan bersyarat 50 lagi tawanan.

Jika gencatan senjata semasa dilanjutkan selama sembilan hari lagi, kira-kira 100 daripada 230 tebusan yang ditawan Hamas akan dibebaskan.

Ia boleh meredakan sedikit kemarahan penduduk Israel terhadap Netanyahu. Dasar kese­lamatan pemimpin tersebut sejak 14 tahun lalu kini berada dalam keadaan goyah, kata laporan sama.

Namun, lanjutan gencatan senjata itu akan memberikan tekanan terhadap Kabinet perang Israel untuk mengekalkan momentum rundingan tebusan dan keadaan menjadi bertambah rumit apabila seramai 20 tebusan AS ditawan oleh Hamas.

Situasi itu mengundang penglibatan dan keputusan Washington dan ini memberi kesan kepada perancangan strategik tentera Israel di Semenanjung Gaza.

“Realitinya, amat sukar bagi Israel untuk meneruskan fasa operasi ketenteraan yang sete­rusnya,” kata laporan itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI