fbpx

Kastam Negeri Sembilan rampas 6 juta batang rokok lari cukai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan berjaya mematahkan cubaan mengedarkan sebanyak 6.51 juta batang rokok lari cukai selepas menahan dan merampas dua buah lori dalam satu operasi pertengahan bulan ini.

Pengarah Kastam negeri, Mohammad Hafiz Ishak menyifatkan rampasan tersebut adalah yang terbesar tahun ini bagi JKDM negeri ini dengan nilai sitaan untuk rokok berjumlah lebih setengah juta ringgit manakala cukai yang sepatutnya dikutip dianggarkan sebanyak RM4.35 juta.

Beliau berkata, kedua-dua lori itu ditahan di dua lokasi di Lebuh Raya Utara Selatan pada 15 November lalu antara pukul 1 tengah hari hingga 4.30 petang.

“Pemeriksaan pada lori pertama yang dilakukan oleh anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan menemukan sebanyak 298 kotak mengandungi 14,900 karton rokok yang mempunyai label cukai palsu.

“Hasil pemeriksaan pada lori kedua menemukan sebanyak 353 kotak yang mengandungi 17,650 karton rokok yang tiada label cukai,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua rokok itu disyaki barangan Larangan Import Di Bawah Butiran 3, Bahagian I dan II, Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Berikutan itu, katanya, pihaknya telah menyita kesemua rokok dan kedua-dua buah lori serta menahan dua pemandu lori yang juga lelaki tempatan berusia lingkungan 30 tahun.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI