fbpx

Ibu maut kereta terbabas rempuh pagar konkrit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta Perodua Kancil dinaiki tiga beranak yang terbabas merempuh pagar konkrit di Simpang Masjid Nurul Abidin, Pangkal Changgong dekat Machang semalam. -Foto PDRM

MACHANG – Seorang wanita maut manakala suami dan bayi lelakinya cedera parah selepas kereta yang dia pandu hilang kawalan sebelum merempuh pagar konkrit di Simpang Masjid Nurul Abidin, Pangkal Changgong di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.05 petang itu, Normaizatul Nazirah Rahamat, 21, meninggal dunia di lokasi kejadian dan suaminya, Muhammad Halimiy Hakim Ismail, 20 bersama anak mereka yang berusia lapan bulan, Muhammad Hasbullah cedera parah.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Kancil sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Mengketil di sini menuju ke arah Machang.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan pagar konkrit di sebuah rumah di kawasan itu.

“Kemalangan itu menyebabkan Normaizatul Nazirah tercampak ke tempat duduk belakang manakala suaminya tersepit pada bahagian tengah antara pemandu dan penumpang depan.

“Wanita itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Suami dan anaknya yang parah dikejarkan ke Hospital Machang sebelum bayi itu dirujuk ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mohd. Adli memberitahu, siasatan mendapati, kemalangan berlaku disebabkan kecuaian pemandu yang gagal mengawal kereta dipandunya sebelum hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pagar konkrit.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Peengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI