PETALING JAYA – Trend memakai jubah konvokesyen sambil membuat video kandungan kreatif dalam kalangan para siswazah semakin berleluasa dimana-mana platform media sosial.
Walau bagaimanapun, kelakuan para graduan itu mendapat teguran Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Datuk Dr. Shahrin @ Sahib Sahibuddin yang berpendapat jubah konvokesyen seharusnya dihormati dan disanjung tinggi.
Ujarnya, pakaian-pakaian seperti jubah konvokesyen, songkok mahupun ‘mortar board’ melambangkan ilmu sangat mulia dan tinggi yang telah dianugerahkan kepada para graduan.
“Kebelakangan ini saya lihat ada mahasiswa atau graduan yang menyarung jubah mereka sambil melakukan aksi-aksi kandungan kreatif.
“Saya pasti mereka jngin memperlihatkan tentang apa yang dianugerahkan kepada mereka. Tapi pandangan peribadi saya, letaklah jubah mahupun ‘mortar board’ itu sejajar dengan apa yang ditauliahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu video yang dimuat naik di akaun TikTok rasmi UiTM iaitu @uitm_channel.
Tambahnya, pakaian jubah merupakan pakaian istiadat yang penuh makna dimana para akademik menyarung jubah ini sebagai tanda simbol kepada ilmu dijunjung.
“Sama juga seperti pemakaian songkok mahupun ‘mortar board’ yang dipakai oleh mahasiswa sebenarnya takrifan menjunjung ilmu yang dianugerahkan kepada mereka.
“Jadi sesuai dengan itu besar harapan saya semua mahasiswa dan graduan UiTM malah graduan Malaysia seluruhnya untuk menghormati pakaian akademik ini kerana bukan calang-calang orang boleh menyarung jubah tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi kisah bagaimana Imam Ahmad Ibn Hanbal menyarungkan jubah terbaiknya ketika beliau didatangi orang-orang yang meminta fatwa.
“Suka saya ceritakan berdasarkan kisah yang saya belajar dari guru-guru saya sebagai contoh imam nama-nama besar seperti Iman Ahmad Ibn Hanbal.
“Walaupun beliau dalam keadaan berpakaian biasa tetapi bagi memberi fatwa itu mereka akan menyarungkan jubah yang terbaik mereka ada, memakai pakaian serban sebagai tanda ilmu mereka bawa.
“Firman Allah dalam Al Quran, ilmu itu dari sisi Allah. Maka ilmu yang saudara saudari pegang dan junjung itu, sangat mulia, tinggi. Tatacara dan adab perlu dianugerahkan kepada pakaian ilmu yang anda pakai,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE