PETALING JAYA – Ibarat marahkan nyamuk kelambu dibakar. Gara-gara tidak puas hati terhadap komen Datuk Ramli MS dalam All Star Gegar Vaganza (GV10), isteri juri tetap pertandingan realiti itu, Datin Alyah yang menerima tempias kemarahan netizen.
Penyanyi itu mendakwa banyak menerima kiriman mesej langsung (DM) daripada individu yang mempersoalkan kritikan pedas Ramli terhadap peserta program berkenaanm terutama Aliff Aziz.
Katanya, segelintir peminat yang taksub harus faham bahawa urusan tugasan Ramli atau tok Ram sebagai juri sesebuah pertandingan, langsung tiada kaitan dengan dirinya.
“Tolong jangan babitkan saya. Awak tahukan Instagram Tok Ram, DM saja terus (sebab) saya kat rumah tak kacau orang pun. Aduh penat macam ni,” katanya menerusi perkongsian Instagram Story.
Pemilik nama sebenar Datin Noor Hasliah Abu Hasan itu turut memuatnaik tangkap layar individu yang meluahkan perasaan itu kepadanya.
Pada masa sama, penyanyi lagu Kisah Hati itu turut memberi amaran tidak akan teragak-agak mendedahkan setiap mesej membabitkan isu sama andai ada yang masih berdegil.
Alyah berharap individu yang suka mensasarkan dirinya agar lebih bersikap rasional selain matang dalam membuat sebarang tindakan.
“Siapa-siapa DM saya hal GV yang tak puas hati ke apa ke, saya memang akan paparkan kat IG Story saya sebab saya tak campur pasal GV.
“Memang Tok Ram suami saya tapi kami bukan kembar siam ya. Tak adalah semua benda saya nak kena ambil tahu. GV pun saya jarang pergi.
“Tolonglah matang sikit. Ada yang lebih penting lagi daripada hal begini. Palestin perlu doa dan sumbangan kita, bukan kerja nak bertelagah saha. Sudah-sudahlah ya,” tulisnya.
Dalam mesej kepada Alyah, pemilik akaun Instagram tersebut mendakwa Ramli MS kerap memberikan komen buruk terhadap persembahan Aliff, berbeza dengan penilaian terhadap peserta lain.
“Nak tanya apa masalah Tok Ram setiap minggu komen buruk-buruk kat Aliff, tak sekali pun puji Aliff. Memang macam ini ke nak keluarkan Aliff,” tulis individu tersebut.
Pada minggu suku akhir GV10 pada Ahad lalu yang menyaksikan Aliff tersingkir, juri terbabit menegur persembahan penyanyi berkenaan seperti hilang fokus, selain kualiti nyanyiannya juga kurang memuaskan. – KOSMO! ONLINE