WELLINGTON – Seorang wanita New Zealand yang melancong ke Australia didenda NZ$3,300 (RM9,395) kerana memasuki negara itu dengan membawa sandwic ayam yang belum dimakan, lapor laman berita South China Morning Post kelmarin.
June Armstrong, 77, terbang dari Christchurch menuju lapangan terbang Brisbane di timur laut Australia pada 2 Mei lalu, lapor laman berita The New Zealand Herald.
Jabatan Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Australia hanya mengulas kejadian itu kira-kira enam bulan kemudian selepas dihubungi New Zealand Herald.
Armstrong berkata, dia membungkus sandwic di dalam begnya sebelum penerbangan dan terlupa untuk mengisytiharkan sandwic itu.
Wanita itu memberitahu bahawa dirinya bergelut untuk membayar denda kerana dia dan suaminya bergantung pada wang pencen mereka.
“Semua orang yang saya tunjukkan denda itu terkejut, mereka tidak mempercayainya,” tambah Armstrong.
“Daging mempunyai syarat import yang ketat,” kata seorang jurucakap pihak berkuasa dan menjadi satu kesalahan untuk membawa barang makanan dilarang ke Australia. – AGENSI