BARCELONA – Pengurus Barcelona, Xavi menggesa anak-anak buahnya supaya segera menukar mentaliti untuk memastikan tiga mata pada pertemuan dengan Porto dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi esok.
Bekas kapten Sepanyol itu menegaskan, Barcelona tidak boleh mengulangi situasi sama ketika aksi domestik bertemu Rayo Vallecano pada Sabtu lalu kerana tiga mata bakal mengukuhkan kedudukan mereka di puncak Kumpulan H.
“Mentaliti kami tidak berada pada tahap terbaik untuk bermain secara lebih agresif. Jika kami mahu memenangi piala musim ini, kami tiada cara lain kecuali menukar mentaliti,” katanya.
Selepas mengharungi empat perlawanan, Barcelona dan Porto masing-masing terikat sembilan mata, namun The Catalans masih mengetuai saingan kumpulan dengan kelebihan jaringan.
Aksi dengan Porto dianggap penentu kepada Barcelona sebelum melengkapkan aksi kumpulan bertemu pasukan tercorot, Royal Antwerp pertengahan bulan depan.
Bagaimanapun, satu mata dengan Rayo Vallecano seakan meningkatkan tekanan kepada Xavi untuk mengetuai pasukannya mengharungi tiga aksi di gelanggang sendiri bermula dengan Porto, Atletico Madrid dan Girona.
Bagaimanapun, Xavi enggan terkesan dengan situasi itu kerana menganggap masih memiliki ruang buatnya melakukan penambahbaikan kepada pasukan, sekali gus mampu menghadirkan keputusan lebih baik.
“Adalah perkara biasa untuk mendapat kritikan tetapi kami masih mampu mengubahnya dan saya juga masih ada banyak masa. Selepas memenangi La Liga dan Piala Super (musim lalu), mentaliti kami sedikit merosot dan kami tidak boleh biarkan ia berterusan. – AGENSI