KUALA LUMPUR – Bantuan dari segi kepakaran yang dijanjikan kerajaan Belanda untuk menambah baik sistem tebatan banjir di Malaysia kerana perkembangan politik di negara tersebut kini tidak menentu berikutan kemenangan besar ahli politik kanan Geert Wilders dalam pilihan raya umum negara berkenaan baru-baru ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Wilders adalah seorang ahli politik veteran Belanda yang bersikap anti-Islam Belanda dan mengetuai kumpulan pelampau kanan, Parti Kebebasan Belanda.
“Saya tidak pasti sama ada rancangan negara ini untuk mendapatkan bantuan pakar Belanda bagi mengatasi banjir saban tahun akan menjadi kenyataan atau tidak.
“Malang atau tidak saya tidak tahu, kerajaan dan kelompok yang menang di Belanda itu sangat anti-Islam serta minoriti di Belanda. Saya tak tahu bantuan kepakaran akan diteruskan atau sebaliknya kerana Perdana Menteri Belanda sebelum ini, Mark Rutte sudah mengundurkan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang bertanyakan soalan tambahan mengenai rancangan kerajaan menangani masalah banjir di negara ini ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Anwar, beliau akan berhubungi Perdana Menteri baharu Belanda (Wilders) untuk mendapatkan maklumat terkini jika Amsterdam masih memberikan komitmen untuk membantu Malaysia.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata bantuan kepakaran dari Belanda akan diterima kerajaan dalam usaha membantu mengurangkan perbelanjaan pengurusan banjir.
Katanya, Menteri Luar Negara, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir akan membuat langkah susulan termasuk mempercepatkan proses ketibaan pasukan pakar terbabit.
Namun begitu, Belanda mengadakan pilihan raya umum mengejut pada 22 Nov lalu bagi memilih 150 ahli parlimen sekali gus membentuk kerajaan dengan mandat baharu.
Selepas pilihan raya umum tersebut dijalankan, parti Wilders mencatat kemenangan besar dan dianggap antara keputusan PRU paling mengejutkan buat Belanda sejak Perang Dunia Kedua. – KOSMO! ONLINE.