KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu disaran mengambil langkah bersepadu memastikan semua generasi muda di negeri ini agar menguasai al-Quran.
Dr. Riduan Mohamad Nor (Pas-Jertih) berkata, pemerhatiannya mendapati masih ramai anak muda di negeri ini yang buta al-Quran.
“Kalau kita masuk ke kampung-kampung (di Terengganu), kita lihat rupanya ramai lagi anak muda yang tidak boleh membaca al-Quran.
“Satu usaha serius dan sistem terancang dibuat untuk memperkasakan anak muda itu,” katanya pada perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.
Riduan berkata, kempen besar-besaran dan lebih sistematik perlu dilakukan kerajaan negeri bagi memastikan generasi baharu Terengganu dapat menguasai al-Quran dengan baik.
Ujar beliau, usaha itu sangat penting memandangkan generasi merupakan pemimpin masa hadapan.
Dalam perkembangan sama, Ridzuan menyarankan kerajaan negeri agar lebih mengetatkan penganjuran acara hiburan di Terengganu.
Beliau berkata, ia bertujuan bagi mengekang budaya hedonisme yang melalaikan terutama buat generasi muda. – KOSMO! ONLINE