BESUT – “Abang, bilik air sudah roboh.”
Demikian detik cemas yang dialami enam sekeluarga apabila sebahagian rumah mereka rosak dihentam ombak besar musim tengkujuh dalam kejadian di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut di sini Khamis lalu.
Zainab Zakaria, 46, berkata, tidur malam mereka sudah tidak lagi nyenyak setiap kali memikirkan rumah yang dibina berhampiran pantai hanya menunggu masa untuk rebah jika dihempas ombak besar lagi.
Katanya, ia bukannya kejadian kali pertama dan yang terbaharu ruang bilik mandi dan tandas roboh pada pukul 5.20 pagi.
“Ketika itu saya dan suami, Wan Sopian Nazri Wan Ramli, 47, sedang menyiapkan kuih untuk dijual sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat.
“Kami bergegas ke bilik air dan tergamam apabila ruangan itu telah runtuh dipukul ombak. Saya jerit abang, bilik air sudah roboh,” katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Atap di sini semalam.
Menurut Zainab, kejadian dipukul ombak semasa musim tengkujuh bukan pertama kali menimpa rumah yang mereka diami sejak 20 tahun lalu.
Tambahnya, sebahagian besar dinding rumahnya sebelum ini telah retak akibat sering dipukul ombak pada setiap kali musim tengkujuh.
“Timbunan beg pasir sebagai penahan yang kami letak keliling rumah bagi menghalang ombak tidak berkesan dan habis dihanyutkan ombak,” katanya.
Ujar Zainab, lebih merisaukan apabila hakisan teruk tersebut menyebabkan gigi pantai yang dahulunya terletak beratus meter cuma tinggal 10 meter dari rumahnya.
“Kami sangat risaukan keselamatan empat anak tetapi tiada pilihan kerana rumah itu satu-satunya kediaman yang ada untuk berlindung ketika ini,” katanya.
Sehubungan itu Zainab merayu agar pihak berwajib membantu mengatasi masalah hakisan yang semakin meruncing di kampung berkenaan.