KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan mendedahkan sebanyak 533 pasangan di negeri ini berkahwin bawah umur sejak empat tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Asri Mat Daud berkata, jumlah itu selesaikan didaftarkan daripada sebanyak 546 permohonan perkahwinan bawah umur yang diterima.
Menurutnya, justeru, kerajaan negeri mengambil pendekatan kewajaran perkahwinan bawah umur seperti yang sudah diperuntukan di bawah Seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam Kelantan 2002.
“Pendekatan itu juga selaras dengan peruntukan undang-undang dan hukum syarak dengan mengambil kira kemaslahatan (kepentingan) pasangan bawah umur yang akan berkahwin.
“Umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun bagi lelaki manakala 16 tahun bagi perempuan dan ia dikekalkan tanpa pindaan. Bagaimanapun, kemaslahatan perkahwinan pasangan bawah umur perlu dinilaikan melalui penelitian menyeluruh daripada aspek kerelaan pasangan dan kesediaan mendirikan rumah tangga.
“Aspek yang dinilaikan antaranya kemampuan, emosi, fizikal, mental, seksual, sosial, spiritual, kesihatan, pendidikan, sekufu dan sebagainya,”katanya bagi menjawab soalan dikemukakan Zameri Mat Nawang (Pas -Jelawat) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Asri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit menjelaskan, soal kemampuan juga diambil kira kerana ia berkait rapat dengan kekuatan sokongan, persediaan awal oleh ibu bapa, kematangan dalam membuat keputusan dan keupayaan melaksanakan peranan sebagai ibu bapa. – KOSMO! ONLINE