MELAKA – Seramai 50 banduan di Penjara Melaka berstatus orang bebas berlesen (OBB) diberi peluang kembali ke pangkuan masyarakat dan diterima bekerja di bawah Program Heads Up Second Chance 2023.
Inisiatif itu merupakan hasil kerjasama Jabatan Penjara, Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), SAORA Industries dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Pengarah Hal-ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan berkata, kesemua banduan terbabit akan terlibat semula dalam alam pekerjaan mengikut kemahiran yang telah disuai padan.
“Sepanjang saya berurusan dengan Jabatan Penjara Melaka, pelbagai idea untuk mentransformasi dan memberi kehidupan yang lebih baik kepada banduan-banduan telah dikongsikan.
“Kami di Ekuinas sentiasa mencari peluang untuk membantu membangunkan komuniti yang kurang bernasib baik melalui dana hasil pulangan di atas pelaburan kami dan ini adalah kolaborasi yang berkesan di antara kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Graduasi Program Heads Up Second Chance 2023 di Wisma Perkeso, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Tambah Hizwani, program tersebut juga diperluaskan kepada 45 banduan wanita di Penjara Wanita Kluang, Johor dan 40 juvana dari Sekolah Henry Gurney (SHG) Telok Mas di sini, yang akan menyambut majlis graduasi tidak lama lagi.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pada tahun lalu seramai 55 pesalah juvana yang menamatkan penggal di SHG Telok Mas telah dibantu mendapat pekerjaan dan berasimilasi semula ke dalam masyarakat dengan berkesan.
“Kita kini berdepan dengan pasaran kerja yang sangat kompetitif, tambah lagi dengan cabaran sosio ekonomi pasca Covid-19, jadi bekas banduan ini akan berdepan dengan cabaran besar untuk mendapat pekerjaan.
“Kami ingin membantu agar komuniti bekas banduan tidak terpinggir dan dapat bersaing daripada segi kemahiran, komunikasi dan keyakinan untuk merebut peluang-peluang baik yang ada, demi membangunkan diri dan berdikari,” katanya. – KOSMO! ONLINE