KOTA BHARU – Seorang wanita maut selepas mengalami keracunan gas monoksida semasa berada di dalam sebuah kereta bersama rakan lelakinya di kawasan tempat letak kereta sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Ibrahim di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10.17 malam.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati seorang lelaki dan wanita berusia 20 tahun berada dalam keadaan terbaring di dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
“Mangsa wanita disyaki sudah meninggal dunia di dalam kereta tersebut manakala rakannya tidak sedarkan diri.
“Hasil bedah siasat di Unit Forensik, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mendapati, kematian wanita tersebut berpunca daripada keracunan gas monoksida,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, mangsa lelaki ketika ini masih menerima rawatan di HRPZ II.
Menurutnya, polis mengingatkan tiada mana-mana individu membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu bagi menghormati privasi keluarga mangsa.
Tambahnya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE