fbpx

Tak paksa orang suka nyanyian saya – Siti Nordiana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NORDIANA masih menerima kritikan hebat daripada peminat sehingga ke hari ini yang tidak berpuas hati dengan gaya nyanyiannya. - ASTRO.

SHAH ALAM – Penyanyi Siti Nordiana, 39, menegaskan tidak pernah memaksa mana-mana pihak untuk menyukai cara nyanyiannya yang sehingga hari ini masih menerima kritikan ramai.

Kata pemilik nama penuh Siti Nordiana Alias itu, dia akan tetap menjadi diri sendiri dan kelembutan dalam nyanyian adalah identitinya sejak dahulu.

“Betul memang ada sahaja yang mempertikai cara nyanyian saya.

“Hakikatnya tidak boleh nak paksa orang ramai menyukai suara saya sebab suka itu adalah subjektif.

“Ada yang suka suara saya dan terdapat juga gemar dengan suara peserta lain. Saya hanya jadi diri sendiri sahaja,” katanya  selepas konsert minggu ke-10 All Stars Gegar Vaganza (GV10) di sini, semalam.

Mengakui terkejut apabila namanya antara diramal bakal melangkah ke konsert final GV10, dia bagaimanapun tetap berharap semangat yang diberikan para peminat akan membantunya untuk terus bekerja keras dalam memberikan persembahan terbaik minggu hadapan.

“Kekuatan saya ketika ini ialah sokongan peminat yang tidak pernah putus sejak minggu pertama GV10.

“Minggu lalu ibarat pemberi semangat untuk berusaha keras sekiranya ada rezeki ke final.

“Bertanding dengan juara-juara lain bukan perkara mudah, mereka semua hebat. Saya serahkan semuanya kepada rezeki,” kata juara Gegar Vaganza musim kedua itu.

Berkongsi mengenai keadaan semasa peti suaranya yang sebelum ini terjejas akibat jangkitan Covid-19, dia kini masih menjalani rawatan pemulihan voice cleanse di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

“Ketika ini saya tidak banyak bercakap demi menjaga kesihatan peti suara ditambah pula batuk sekarang ini.

“Rawatan tersebut masih berjalan dalam tempoh enam bulan dan mengambil ubat untuk beri kelegaan pada bahagian tekak,” jelasnya.

Terdahulu, Nana tetap menyahut cabaran menyertai GV10 walaupun peti suaranya mengalami masalah selepas dijangkiti Covid-19 sebanyak lima kali.

Katanya, Covid-19 bagi kesan kepada saluran penafasan kerana menjadi sempit, penat nak menyanyi sehingga rasa ketat nak melontarkan suara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI