BERLIN – Seorang supermodel Vietnam melamar teman lelakinya dengan sebentuk cincin di sebuah restoran di Jerman, baru-baru ini, lapor portal berita VNExpress semalam.
Minh Tu, 32, berkata kepada kekasihnya: “Adakah awak mahu mengahwini saya?”
Sebagai jawapan, teman lelakinya yang merupakan seorang warganegara Jerman dan dikenali sebagai Christopher hanya ketawa.
Namun, dia kemudian memeluk Minh Tu dan menghulurkan jarinya supaya wanita itu dapat menyarungkan cincin tersebut.
Kata Minh Tu, dia tidak pernah menyimpan kepercayaan bahawa lelaki yang sepatutnya melamar wanita dan bukan sebaliknya.
Sambil Christopher menganggukkan kepala sebagai tanda setuju Minh Tu berkata, dia mula merancang untuk majlis perkahwinan mereka.
Bagaimanapun, dia tidak mendedahkan nama restoran dan tarikh dia melamar kekasihnya itu.
Dilahirkan sebagai Nguyen Minh Tu di Bandar Ho Chi Minh, kerjaya peragaannya mula mendapat pengiktirafan apabila dia memenangi anugerah perak dalam peraduan Supermodel Vietnam 2013 sebelum menamatkan saingan sebagai Naib Juara Asia’s Next Top Model. – AGENSI