KEMAMAN – Kementerian Kesihatan (KKM) akan membantu pesakit berkelayakan yang kini mendapatkan rawatan di dalam wad Hospital Kemaman di sini untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Sabtu ini.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, KKM akan menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memudahkan pesakit terlibat menunaikan tanggungjawab mengundi di pusat-pusat pengundian.
Beliau berkata, keupayaan pesakit terbabit untuk turun mengundi tersebut akan bergantung pada tahap kesihatan mereka pada hari pengundian PRK Parlimen Kemaman, Sabtu ini.
“Doktor akan melakukan pemeriksaan (kesihatan) untuk meneliti sama ada (pesakit terbabit) layak atau tidak untuk keluar mengundi.
“Kalau pesakit itu layak (melepasi pemeriksaan kesihatan), kita akan membantu memudahkan mereka mengundi di pusat-pusat pengundian (terlibat),” katanya ketika meninjau Klinik Kesihatan Air Putih di sini hari ini.
PRK Kemaman menyaksikan pertembungan calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK berkenaan termasuk 387 anggota polis, tentera (sembilan) dan pengundi tidak hadir luar negara (12).
Mereka akan mengundi di 49 pusat pengundian yang mengandungi 244 saluran di seluruh kawasan Parlimen ini. – KOSMO! ONLINE