SEPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan turut berperanan dalam usaha pembebasan 17 warga Thailand di Gaza, yang menjadi tebusan Hamas pada minggu lalu.
Perkara berkenaan didedahkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang mengesahkan, ia hasil susulan daripada permintaan kerajaan Thailand sendiri.
“Ramai mungkin tidak tahu bahawa Perdana Menteri kita pun ada memainkan peranan penting di belakang tabir,” katanya ringkas pada sidang akhbar di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini petang tadi.
Pagi tadi, Perdana Menteri Thailand, Settha Thavisin ketika bertemu Anwar di sempadan Sadao-Bukit Kayu Hitam dan telah mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawatannya itu.
Pemimpin tersebut dipercayai merujuk pembebasan rakyat negara itu ketika berlangsung jeda kemanusiaan ekoran gencatan senjata selama empat hari, bermula Jumaat lepas.
Mengulas lanjut Zambry berkata, pihak berkuasa negara jiran itu memang ada meminta bantuan Malaysia ekoran kejayaan pembebasan warga Malaysia dari Gaza awal bulan ini.
“Proses ini amat sukar dan dilakukan penuh berhati-hati kerana ia dibuat bukan dalam fasa gencatan senjata dengan suasana di wilayah itu masih lagi dalam perang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE