JAKARTA – Sepasang pengantin baharu di Kolaka, wilayah Sulawesi Tenggara meneruskan acara pernikahan di sisi jenazah bapa pengantin perempuan yang meninggal dunia pada malam sebelum majlis tersebut, lapor portal berita Okezone hari ini.
Dalam video yang dimuat naik di laman sosial, pasangan Tarisa dan Edi Muh Jabal dinikahkan di sebeleh jenazah bapa pengantin perempuan, H. Rusli.
Rusli dilaporkan meninggal dunia selepas selesai menunaikan solat isyak pada Jumaat lalu, manakala majlis pernikahan Tarisa dijadualkan berlangsung keesokan harinya.
Menurut seorang jiran, Erlina, arwah secara tiba-tiba rebah lalu dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.
“Saya dengar arwah sudah lama sakit, sakit buah pinggang,” kata Erlina.
Sementara itu, dalam video yang dikongsikan, ahli keluarga Tarisa dilihat menitiskan air mata ketika saudara kandung wanita itu menjadi wali bagi menggantikan bapa mereka yang sudah tidak bernyawa.
Jenazah Rusli selamat dikebumikan di kawasan perkuburan setempat sejurus acara akad nikah berlangsung dan ia turut dihadiri oleh tetamu. – AGENSI