PETALING JAYA – Beberapa Ahli Parlimen membangkitkan ketiadaan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sewaktu sidang di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini bagi membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan (KPM).
Pada mulanya, ketiadaan beliau dibangkitkan oleh Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang membangkitkan perkara tersebut kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Noor.
“Ketika ini nak berbahas KPM, minta menteri dan timbalan masuk sekali sebab ini adalah jawatankuasa. Anda perlu beri respons secepat mungkin.
“Kalau tidak, macam mana nak berbahas, tapi tak dicatit. Ikut pegawai tak semestinya tepat,” katanya pada sidang tersebut, hari ini.
Seterusnya, Ramli bertanyakan kepada Ahli Parlimen yang lain mengenai keberadaan Menteri dan Timbalan Menteri Pendidikan, namun dijawab ‘tiada’.
Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) juga bangun dan memaklumkan, tidak mahu berbahas mengenai perkara itu sekiranya menteri tidak muncul.
“Yang Berhormat saya setuju Ayer Hitam (Ka Siong), saya kalau macam ini, saya tak nak bahas,” katanya.
Dalam pada itu, Ramli memaklumkan jika menteri tidak hadir pada sidang di Dewan Rakyat, mereka boleh diwakili individu lain.
“Saya percaya pihak pentadbiran di sebelah kanan mempunyai wakil-wakil menteri. Dalam peraturan mesyuarat pun, perkara itu boleh diwakili.
“Baik… panjang umur menteri. Bersedia menteri (memaklumkan kehadiran Menteri Pendidikan).
“Hanya sebagai nota untuk pengetahuan, walaupun menteri berkenaan tak ada di dewan, menteri lain boleh mewakili. Alhamdulillah, menteri ada… kita teruskan,” katanya memaklumkan kehadiran Fadhlina di Dewan Rakyat. – KOSMO! ONLINE