BUKIT KAYU HITAM – Perancangan kerajaan Thailand membina pelabuhan serta jambatan darat bagi memendekkan perjalanan kapal dengan tidak perlu melalui Selat Melaka dilihat dapat memberi faedah kepada Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin menyatakan komitmen untuk turut melibatkan Malaysia dalam projek tersebut.
Anwar bagaimanapun menyatakan masih terlalu awal untuk membincangkan perkara itu termasuk membuat keputusan terlibat secara langsung dalam projek melibatkan pembinaan pelabuhan baharu Ranong di barat dan Chumphon di timur, Thailand.
“Tidak juga (tidak beri manfaat) kerana land bridge (masih) di peringkat awal, dalam perbincangan itu memang akan melibatkan Malaysia dan beri manfaat kepada kita terutama negeri-negeri utara Semenanjung, bagi kita ada faedah untuk kita manfaatkan kemudahan di situ.
“Cuma secara terperinci sama ada kita menyertai atau ada ekuiti (melabur) itu terlalu awal untuk dibincangkan tetapi semangat yang dibincangkan antara Srettha dengan saya adalah beliau akan memastikan Malaysia akan menerima manfaat dan terlibat dalam projek ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Sadao, Wilayah Songkhla di Thailand dan Bukit Kayu Hitam hari ini.
Pada sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco baru-baru ini, Srettha membangkitkan semula idea projek itu yang melibatkan kos RM131 bilion menerusi pembinaan pelabuhan baharu Ranong di barat dan Chumphon di timur yang akan dihubungkan melalui landasan kereta api atau jalan.
Projek laluan sejauh 90 kilometer itu dijangka memendekkan perjalanan menerusi laut selama empat hari dan kos dijimatkan 15 peratus antara Teluk Siam dan Laut Andaman.
Projek mega itu sudah lama tergendala sejak dicetuskan Raja Narai pada 1677 dan apabila siap kelak, ia bakal mengurangkan kesesakan trafik ribuan kapal di Selat Melaka. – KOSMO! ONLINE