Saudara Pengarang,
Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur di Stadium Bukit Jalil telah melabuh tirainya pada Khamis lalu.
Sebelum konsert tersebut diadakan, pelbagai tohmahan, kecaman dan pandangan telah dilontarkan kepada pihak penganjur dan juga kerajaan.
Ramai yang cuba menyekat konsert tersebut diadakan, kononnya bagi mereka, kita tidak sensitif kepada keadaan yang berlaku di Palestin.
Walaupun saya tidak 100 peratus menyokong konsert terbabit, namun di sebalik penganjuran itu ada memberi sedikit perkara positif kepada pihak lain.
Sebagai contoh, penganjuran konsert berkenaan telah membuka ruang rezeki kepada pengusaha restoran, penjaja di sekitar stadium dan juga industri hotel di ibu kota.
Malah, pengangkutan awam dan pengusaha e-hailing turut menerima ‘durian runtuh’ apabila konsert berskala besar seperti itu diadakan.
Ini kerana, penonton yang hadir pada konsert tersebut pasti akan makan dan minum, menaiki pengangkutan awam atau e-hailing serta penonton luar negara juga akan menginap di hotel-hotel sekitar ibu kota.
Oleh itu, penganjuran konsert ini secara tidak langsung memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat ketika ramai yang terkesan dengan krisis ekonomi yang melanda seluruh negara ketika ini.
Kata orang, apabila kita hanya memikirkan sesuatu itu sebagai negatif, maka manfaat kepada orang lain itu tidak akan terlihat. Ingatlah, di sebalik apa yang kita benci, kadang-kadang ia memberi kebaikan kepada orang lain.
Pencari Rezeki
Gombak, Selangor