SRI AMAN – Perkongsian ‘live location’ di aplikasi Whataspp telah menyelamatkan tiga beranak yang sesat ketika mencari durian di dalam hutan berdekatan Bukit Bengunan, Pantu di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian tersebut berlaku ketika tiga beranak berusia 25 hingga 62 tahun itu keluar mencari durian di kebun mereka pada pukul 10 pagi semalam.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang katanya, mereka gagal menemui jalan pulang lalu menghubungi pasukan bomba kira-kira pukul 2 petang bagi mendapatkan bantuan.
“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menjalankan pencarian berpandukan ‘live location’ yang dihantar mangsa melalui Whatsapp kepada Komander Operasi.
“Perjalanan pasukan SAR menuju ke lokasi mangsa dalam jarak 1.4 kilometer dan mengambil masa lebih sejam untuk masuk ke dalam hutan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata tiga beranak itu berjaya dijumpai pada pukul 5.20 petang tanpa mengalami sebarang kecederaan.-KOSMO! ONLINE