fbpx

Lima inisiatif Pelan Liberalisasi Visa diperkenal kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan memberikan kemudahan Multiple Entry Visa (MEV) bagi tempoh sehingga 30 hari kepada semua pelancong yang ingin masuk ke Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu merupakan antara lima inisiatif di bawah Pelan Liberalisasi Visa yang diperkenalkan kerajaan.

Katanya, inisiatif itu bertujuan menjana hasil pendapatan negara dan memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju dalam indisuti utama pelaburan dan pelancongan di rantau Asia.

“Inisiatif itu turut melibatkan pemberian pengecualian visa bagi tempoh 30 hari kepada warganegara China dan India mulai 1 Disember 2023 hingga 31 Disember 2024.

“Selain itu, pemberian Pas Lawatan Sosial (Jangka Panjang) dengan keberadaan sehingga 12 bulan untuk pelajar antarabangsa yang telah tamat pengajian di Malaysia bagi tujuan menyambung pengajian, melancong dan bekerja secara sambilan dalam sektor pekerjaan yang dibenarkan mengikut undang-undang di dalam negara.

“Ia dibuka kepada 23 warganegara yang berisiko rendah dan berpendapatan tinggi iaitu Australia, New Zealand, Brunei, Singapura, Korea Selatan, Jepun, Jerman, United Kingdom, Perancis, Kanada, Switzerland, Belanda, Arab Saudi, Kuwait, UAE, Qatar, Oman, Bahrain, Sweden, Norway, Denmark, Finland dan Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, tadi.

Katanya, pemberian visa transit umrah bagi tempoh tujuh hari melalui agensi pengendali umrah yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) juga merupakan antara inisiatif ditawarkan.

“Inisiatif berkenaan turut meliputi penambahbaikan tempoh sah laku visa dipanjangkan dari tiga bulan kepada enam bulan dan tempoh kelayakan Pas Lawatan Sosial diselaraskan kepada minimum 30 hari bagi semua negara yang memerlukan visa untuk masuk ke Malaysia,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pelaksanaan pelan liberalisasi visa itu akan diperkukuhkan dengan langkah kawalan dan penguatkuasaan secara bersepadu dengan agensi- agensi penguat kuasa.

“Susulan itu, Jabatan Imigresen akan mewujudkan pasukan khas bagi memantau pergerakan keluar pelancong China dan India.

“Pemantauan akan dilaksanakan pada tarikh akhir iaitu hari ke-30 mengikut tempoh keberadaan di dalam negara.

“Seterusnya, pemantauan tersebut akan dilaporkan secara berkala sebagai mekanisme kawalan dan penguatkuasaan,” tegasnya.

Katanya, agensi terlibat juga akan meningkatkan aktiviti naziran di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan warganegara asing seperti di kawasan Masjid India, Plaza Lowyat, Bukit Bintang bagi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Kami juga akan menggiatkan aktiviti risikan dan penguatkuasaan kepada bukan sahaja pekerja asing tetapi juga kepada majikan yang menggajikan atau melindungi PATI.

“Ia turut melibatkan prosedur ketat pemberian Notis Penolakan Masuk atau Not- to-Land (NTL) dikekalkan dan tidak dikompromi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI