KUALA LUMPUR – Raja pop, Datuk Jamal Abdillah mengukir kenangan manis buat seorang peminat warga emas, Rohani Abdullah apabila memberi tiket percuma buat individu terbabit pada persembahan Jamal Abdillah Live in Concert, malam tadi.
Pengalaman bertembung secara kebetulan dengan wanita berusia 69 tahun bersama cucunya di Kawasan Rehat Dan Rawat R&R Temerloh, Pahang dikongsikan Jamal pada konsert yang berlangsung di Dewan Planery, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Sempat turun dari pentas, penyanyi lagu Ghazal Untuk Rabiah itu memperkenalkan Rohani kepada 1,500 penonton sambil menceritakan detik pertemuan mereka sehingga membawa kepada pujukan memintanya datang ke konsert tersebut.
Telatah lucu wanita yang menemani cucunya ‘turun’ dari Terengganu kerana bimbangkan keselamatan insan kesayangan yang membeli satu tiket saja menyaksikan persembahan mega artis kesayangannya turut mencuit hati khalayak.
Malah selain mendedikasi lagu Tidurlah Wahai Permaisuri untuk tetamu kenamaan yang mencemar duli, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, Jamal turut mendedikasikan dendangan Kasihnya Ibu buat Rohani.
Dalam persembahan yang berdurasi lebih dua jam, penyanyi berkenaan menyampaikan lebih 20 seleksi popular yang dibahagikan kepada beberapa segmen termasuk balada, santai, ghazal dan medley.
Menerusi segmen duet, Wany Hasrita diundang untuk berkolaborasi bagi lagu Kehebatan Cinta dan Canggung, manakala rapper, Mr Faroq menemaninya di pentas menyampaikan Aku Maafkan Kamu.
Seperti diimpikan, Jamal, 64, turut bergandingan dengan dua anaknya, Osama Yamani serta Zaki Yamani mendendangkan Gadis Melayu dan Penghibur.
Melihat sambutan khalayak, penyanyi yang lebih empat dekad memperjuangkan bakat di arena seni itu sememangnya mempunyai aura tersendiri.
Malah, Jamal, 64, juga tidak menghampakan penonton apabila membawakan beberapa lagi seleksi hits yang tiada dalam senarai sebagai bonus untuk peminat. – KOSMO! ONLINE