fbpx

Dewan Rakyat: Garis panduan penggunaan AI mengikut kerangka Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Na'im.

KUALA LUMPUR – Garis panduan dan etika berkaitan penggunaan serta penyelidikan teknologi kecerdasan buatan (AI) mengikut kerangka Islam perlu diwujudkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, selepas itu undang-undang khusus berkait dengan konteks hukum dan fatwa akan diteliti.

“Sama ada (terdapat) keperluan untuk wujudkan fatwa bagi AI, ini akan dibincangkan apabila sudah ada garis panduan dan etika berkaitan penyelidikan AI itu sendiri.

“Kita akan adakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta CyberSecurity sama ada undang-undang mengenai AI perlu dirangka atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini bagi menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) mengenai penggunaan AI daripada sudut pandangan agama.

Terdahulu katanya, maklumat mengenai semua aspek teknologi AI perlu difahami dan dikuasai dengan mengkaji kelebihan dan kekurangan teknologi berkenaan, peluang yang boleh diterokai serta ancaman sekiranya teknologi itu disalah guna.

Justeru, katanya, penerokaan teknologi AI penting untuk diimbangi antara golongan cendekiawan dan agamawan melalui pematuhan garis panduan, prosedur, pengawalan dan etika penggunaan teknologi itu menurut acuan dan perspektif Islam.

“Sebarang isu atau risiko berkaitan AI perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum melihat kepada manfaat akan diperolehi. Permasalahan yang timbul pada teknologi perlu diperhalusi apabila berlaku pertembungan antara mudarat dan maslahah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI