KUALA KRAI – Seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan rentung selepas kenderaan yang dia naiki bersama ibu bapanya terbakar selepas terbabas sebelum merempuh tiang lampu di depan sebuah bank di Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, hari ini.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Mohd. Fadzil Musa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.04 pagi tadi sebelum 16 orang pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, siasatan di lokasi kejadian mendapati, sebuah kereta jenis Honda Jazz dipercayai terbakar akibat terbabas sebelum merempuh tiang lampu.
“Kemalangan itu melibatkan tiga orang mangsa termasuk bayi berusia tujuh bulan. Lelaki di dalam kereta itu melecur seluruh tubuh badan manakala mangsa wanita cedera ringan.
“Bayi perempuan berusia tujuh bulan itu pula dijumpai rentung di dalam kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Fadzil, kebakaran kereta itu berjaya dikawal kira-kira pukul 4.18 pagi sebelum berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 4.49 pagi. – KOSMO! ONLINE