SABAK BERNAM – Kegiatan memburu burung ruak-ruak dan ayam-ayam secara haram di kawasan sawah padi di Simpang Lima, Sungai Besar di sini, tumpas selepas diserbu pihak berkuasa, baru-baru ini.
Perkara itu dikesan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor yang menjalankan rondaan pencegahan jenayah hidupan liar, kira-kira pukul 8 malam, Jumaat lalu.
Pengarah Perhilitan negeri, Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Yusoh berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat mengenai aktiviti pemburuan spesis burung yang dilindungi mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“Hasil pemeriksaan menemukan jaring dan peralatan yang digunakan bagi menangkap burung ruak-ruak dan ayam-ayam di sekitar sawah padi berkenaan.
“Anggota kita daripada Perhilitan Sabak Bernam turut menyelamatkan lima burung spesis lain yang tersangkut pada jaring itu,” katanya kepada Kosmo! hari ini. -KOSMO!ONLINE