PETALING JAYA – Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh berpeluang menebus kekecewaan dengan merangkul gelaran keduanya tahun ini apabila turun menghadapi Kejohanan Antarabangsa Syed Modi, India di Lucknow esok.
Bagaimanapun, ia tidak mudah kerana Justin, 19, perlu berhadapan rakan senegara iaitu pemain No.38 dunia, Leong Jun Hao di pusingan pertama pada kejohanan yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Babu Banarasi Das itu.
“Saya tidak boleh komen lanjut mengenai undian, tetapi saya rasa ia akan menjadi perlawanan yang menarik antara kami berdua. Yang pasti saya tidak akan memberi laluan mudah,” kata pemain dari Kuala Lumpur itu.
Justin memulakan tahun 2023 dengan cemerlang apabila meraih naib juara Cabaran Antarabangsa Iran Fajr di Tehran awal Februari lalu sebelum menjuarai Cabaran Antarabangsa Uganda di Kampala tiga minggu kemudian.
Bagaimanapun, Justin hanya sempat bermain dua kejohanan selepas itu, Masters China dan Cabaran Antarabangsa Osaka sebelum tersisih lama hampir lapan bulan kerana kecederaan achilles tendon menyebabkan rankingnya jatuh ke No.98 dunia ketika ini.
Kini, Justin boleh cuba untuk kembali mendapatkan rentak terbaiknya selepas tidak dapat beraksi pada Cabaran Antarabangsa Malaysia di Ipoh, Perak minggu lalu kerana masih belum mendapat pelepasan daripada pihak perubatan.
“Saya akui saya amat risau dengan keputusan perubatan saya minggu ini. Keputusan itu akan menentukan sama ada saya boleh beraksi di India ataupun sebaliknya.
“Akhirnya saya lulus dan sudah tidak sabar untuk beraksi. Ini adalah satu berita dan motivasi baik kerana saya agak beremosi ketika menjalani proses pemulihan,” jelas pemain yang pernah mendapat sentuhan Datuk Misbun Sidek itu.
Selepas kejohanan di Lucknow, Justin akan menghadapi satu lagi kejohanan di India iaitu Masters Guwahati di Assam yang dijadualkan berlangsung 5 hingga 10 Disember ini. – KOSMO! ONLINE