KUALA LUMPUR – Penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani diarah oleh Mahkamah Tinggi, di sini hari ini supaya memfailkan jawapan terhadap Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil selewat-lewatnya 8 Disember ini, berhubung saman fitnah ceramah politik di sebuah masjid.
Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Fahmi berkata, sebelum ini Ahmad Dusuki selaku defendan memfailkan tuntutan balas serta pernyataan pembelaan pada 19 Oktober lalu, manakala Fahmi menjawab kedua-dua pernyataan itu pada 24 November lalu.
“Mahkamah juga menetapkan pengurusan kes secara dalam talian pada 18 Disember ini untuk kedua-dua pihak mengemas kini status pemfailan serta memfailkan permohonan interlokutori sekiranya ada,” katanya ketika dihubungi.
Peguam itu berkata demikian selepas prosiding di hadapan Timbalan Pendaftar Nur Shasha Hidayah Nor Azahar secara dalam talian, hari ini.
Selain Ahmad Dusuki, Fahmi turut menfailkan saman terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai ‘Papagomo’ serta pemilik akaun Facebook ‘N13 Kuang’, Mohd. Fauzan Madzlan selaku defendan berhubung isu sama.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Fahmi mendakwa defendan-defendan telah menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwanya menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen piliha raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Sultan Selangor.
Fahmi mendakwa kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos, manakala di akaun Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai lepas.
Menurut Fahmi, kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan, dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu. – KOSMO! ONLINE