LAZIMNYA, seorang manusia dewasa memiliki 32 batang gigi iaitu lapan gigi kacip, empat gigi taring, lapan gigi premolar dan dua belas gigi geraham.
Namun, berbeza bagi seorang wanita di India bernama Kalpana Balan yang memiliki 38 batang gigi iaitu enam gigi lebih banyak berbanding kebiasaan.
Jumlah gigi wanita berusia 26 tahun itu membolehkan dia dinobatkan sebagai wanita dengan jumlah gigi terbanyak dunia oleh Guinness World Records baru-baru ini.
Menurut Kalpana, dia memiliki empat gigi tambahan pada rahang bawah dan dua gigi lebih pada rahang atas.
“Pada awalnya, gigi saya sama jumlah seperti rakan sebaya.
“Namun, pada usia remaja, saya dapati gigi saya semakin bertambah.
“Gigi ini tumbuh satu demi satu sehingga jumlah terkini sebanyak 38 gigi. Bahkan, dua lagi gigi dijangka tumbuh tak lama lagi,” jelasnya.
Sebagai rekod, istilah perubatan untuk kondisi gigi supernumerary (gigi berlebihan) adalah hyperdontia atau polydontia.
Seramai 3.8 peratus daripada populasi dunia memiliki satu atau lebih gigi supernumerary.
Kondisi hyperdontia terhasil daripada kerosakan dalam proses pembentukan gigi, walaupun punca sebenarnya tidak diketahui.
Difahamkan, gigi supernumerary berkembang daripada putik gigi tambahan yang timbul berhampiran putik gigi biasa atau pecahnya putik gigi biasa.
Ia juga dikaitkan dengan beberapa keadaan penyakit keturunan, termasuk sindrom Gardner, penyakit fabry, dysostosis cleidocranial dan bibir sumbing.
Menurut Kalpana, kondisi giginya itu tidak menyebabkan dia rasa sakit, namun ia menganggu aktiviti harian apabila makanan asyik tersekat di celah-celah gigi.
“Saya tak mengalami sakit gigi atau gusi walaupun jumlah gigi saya banyak.
“Masalah hanya timbul apabila saya makan makanan seperti daging.
“Ini kerana makanan akan tersekat di celah-celah gigi yang banyak. Membersihkannya bukan satu tugas mudah,” jelasnya.
Mengulas mengenai reaksi ibu bapanya ketika gigi tidak berhenti tumbuh, Kalpana mendedahkan bahawa mereka sangat terkejut.
Ibu bapanya mencadangkan agar gigi tambahan itu dicabut, namun cadangan berkenaan ditolak doktor gigi.
“Menurut doktor, gigi saya tidak boleh dicabut dengan mudah dan memerlukan prosedur perubatan rumit.
“Doktor mencadangkan supaya gigi saya tumbuh sepenuhnya dahulu baru prosedur itu dilakukan secara sekali gus,” ujarnya.
Biarpun kondisinya aneh, namun ibu kepada seorang cahaya mata itu berasa bagai menemui hikmah apabila dinobatkan sebagai wanita dengan gigi terbanyak dunia.
Ujar Kalpana, pencapaian tersebut meletakkan namanya di persada dunia, sekali gus merupakan pencapaian paling baik di dunia.
“Saya sangat gembira dapat memenangi gelaran Guinness World Records. Ini merupakan pencapaian seumur hidup saya,” tuturnya.
Untuk pengetahuan, pemegang rekod gigi terbanyak bagi kategori lelaki ialah Evano Mellone dari Kanada. Lelaki yang kini berusia 43 tahun itu direkodkan memiliki 41 batang gigi pada 11 November 2021.