PETALING JAYA – Guru besar yang pernah tular tinggal dalam sebuah stor di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid akhirnya bersara semalam.
Menerusi satu klip video yang dikongsi di laman Facebook Kota Belud Info, guru besar yang dikenali sebagai George Odol kelihatan sebak apabila bersalaman dengan anak muridnya.
Beliau yang berada di atas tangga di sekolah berkenaan dilihat turut memeluk dan memberi buah tangan kepada murid-muridnya sebelum dia menamatkan perkhidmatannya.
“Jasa seorang guru. Sekali menjadi guru maka selamanya dikenang sebagai cikgu. Selamat bersara Cikgu,” tulis perkongsian itu.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna termasuk bekas guru mengucapkan terima kasih atas pengorbanan guru besar berkenaan sepanjang berkhidmat di sekolah itu.
“Selamat bersara cikgu, turut menghayati dan menjiwai perjuangan anda sebagai guru di pedalaman.
“Pernah menumpang bilik kecil seperti tuan semasa mengajar di Sabah 1980-an. Terima kasih kepada pelajarku yg terus mengingatiku walaupun kini sudah bersara.
“Semoga tuan terus tabah dan sihat. Teruskan bakti anda di manapun kita berada,” tulis Ibrahim bakar.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Emmaz Nisha Aims.
“Selamat bersara GB (guru besar), semoga sentiasa dipermudahkan dalam apa jua urusan mahupun pekerjaan GB selepas ini, sentiasa diberikan kesihatan yang baik,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang guru besar di Sekolah Kebangsaan Ulu Ansuan, Telupid, Sabah dikenali George Odol menunjukkan stor sekolah di mana ia merupakan tempat tinggalnya selama lebih tiga tahun sepanjang bertugas sebagai seorang guru.
Kata guru tersebut, pada tahun 1999 ketika sekolah itu dibina, guru-guru terpaksa tinggal di rumah orang-orang kampung dan kelas yang diubah suai kerana tiada rumah guru disediakan.
“Kemudian Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah membina dua buah rumah yang ‘ala kadar’ sahaja. Ketika saya ditugaskan di sekolah tersebut pada tahun 2020, saya terpaksa tinggal di stor prasekolah dengan keluasan 144 kaki persegi,” ceritanya.
Susulan pendedahan guru itu, Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan projek penambahbaikan akses dan fasiliti pendidikan di SK Ulu Ansuan membabitkan kos keseluruhan bernilai RM12.5 juta.
Bagi penyelesaian jangka pendek kediaman guru di SK Ulu Ansuan, KPM siap melaksanakan projek selenggara kuarters dengan peruntukan RM200,000.
Selain itu, KPM telah meluluskan pembinaan empat unit kuarters baharu semasa pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu. – KOSMO! ONLINE
@ndrewsanselamat bersara guru besar sk ulu ansuan…jasamu dikenang selamanya terima kasih mendidik kpda murid kg Baba dan kg ansuan.