PETALING JAYA – Enggan kisah perceraian dengan pelakon Mawar Rashid terus diperkatakan, ahli perniagaan Raf Yaakob meminta semua pihak berhenti membuat andaian.
Raf atau nama sebenarnya Raden Ahmad Faizal Yaakob, 38, menerusi saluran Telegram berpendapat setiap insan perlu berpegang kepada ketentuan Tuhan.
“Selamat pagi semua. Saya berpendapat lebih baik berhenti menyebarkan sebarang spekulasi, kebencian dan perkara negatif dalam apa jua aspek.
“Kita berpegang semula pada rukun iman keenam iaitu percaya kepada qada dan qadar yang membawa maksud berpegang kepada takdir.
“Seseorang itu mesti yakin dan percaya bahawa segala yang berlaku dalam alam ini semuanya ketentuan dan ketetapan Allah SWT.
“Sebagai manusia kita hanya pasrah dan reda kerana Allah SWT lebih mengetahui semuanya,” tulis adik kepada penyanyi Datuk Fazley Yaakob itu.
Pada 24 November lalu Raf dan Mawar menoktahkan tanda tanya ramai mengenai pergolakan rumah tangga mereka dengan mengumumkan perceraian.
Situasi itu tercetus susulan mereka sepatutnya hadir ke mahkamah syariah sehari sebelumnya namun kelibat masing-masing tidak kelihatan.
Terdahulu, perubahan Mawar atau nama sebenarnya, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid yang tidak lagi bertudung selain tindakan memadam gambar Raf membuatkan ramai menebak rumah tangga mereka goyah.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 9 November 2017 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Raden Muhammad, 4, Raden Seri Rosabella Cinta, 2, serta Raden Seri Riyanna Sayang, 10 bulan.
Raf sebelum ini pernah berkahwin dan memiliki dua cahaya mata. – KOSMO! ONLINE