KOTA BHARU – Pemandu dan kelindan dua buah lori tidak sempat membawa 19.5 tan minyak masak bernilai RM48,875 dari Selangor dan Negeri Sembilan ke negara jiran selepas kenderaan yang mereka naiki ditahan di dua lokasi berasingan di sini semalam.
Keempat-empat suspek berusia dalam lingkungan 22 hingga 36 tahun itu dicekup sepasukan pegawai risik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira pukul 8.30 pagi hingga 9.45 pagi di Tunjong dan Salor di sini.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, siasatan mendapati, kedua-dua lori terbabit sedang dalam perjalanan dari Selangor dan Negeri Sembilan dan ia dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, lori pertama ditahan di hadapan sebuah kedai runcit di Tunjong di sini pada pukul 8.30 pagi.
“Pemeriksaan di dalam lori terbabit menemui 600 kotak minyak masak bernilai RM25,500. Pemandu dan kelindan kenderaan itu gagal mengemukakan sebarang dokumen termasuk invois berkaitan penghantaran minyak masak tersebut.
“Siasatan lanjut mendapati, pemandu lori dari Selangor itu sedang menunggu penyeludup untuk memunggah minyak masak tersebut sebelum ia diseludup ke negara jiran,” katanya pada sidang akhbar di pejabat KPDN di sini, hari ini.
Azman memberitahu, kira-kira satu jam 15 minit kemudian, anggota penguat kuasa KPDN dan PGA mengekori sebuah lagi lori sejauh kira-kira 10 kilometer sebelum menahannya di depan sebuah stesen minyak di Salor.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam lori yang dipandu dari Negeri Sembilan itu kemudiannya menemui sebanyak 550 kotak minyak bernilai RM23,375.
“Pemandu dan kelindan lori tersebut turut gagal mengemukakan sebarang dokumen termasuk invois penghantaran.
“Siasatan lanjut mendapati, pemandu dan kelindan yang membawa minyak masak untuk diseludup ke negara jiran akan menerima upah sebanyak RM800 untuk satu trip perjalanan,” ujarnya.
Azman berkata, keempat-empat lelaki itu ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – KOSMO! ONLINE