PETALING JAYA – “Gaya boleh mengalahkan pelumba MotoGP, siap meniarap lagi tapi motor pergi 108 kilometer sejam (KM/J)”.
Itu antara komen orang ramai apabila menyaksikan satu klip video seorang penunggang motosikal yang tular di media sosial hari ini.
Menurut satu hantaran di media sosial Facebook, seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal jenama Honda RSX dengan gaya pelumba haram menjadi percakapan orang ramai.
Gaya yang dipanggil Superman itu cukup terkenal dalam kalangan samseng jalanan ketika melakukan aksi perlumbaan haram.
Namun yang melucukan apabila kelajuan yang tertera di papan meter motosikal tersebut hanya mencatatkan kelajuan 108 km/j.
Ramai pengguna media sosial menyeru lelaki tersebut untuk menampal pelekat gelap dan ada juga yang menasihatkan dia agar berhemah ketika di jalan raya.
“Abang rasanya elok letak stiker hitam sikit dekat meter tu, malu dengan mak saya yang lagi laju bawa motor hantar adik pergi sekolah,” jelas seorang pengguna media sosial.
“Aku rasa elok kamu bawa biasa saja, kalau kelajuan macam ni orang bawa pergi pasar.
“Bawa elok-elok pun boleh rasanya bang,” kata Syazwan Zainal. – KOSMO! ONLINE