fbpx

Pemuda hampir warisi saka harimau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIZ hampir mewarisi saka harimau merah berantai peninggalan datuknya. – ILUSTRASI SHAH HASAN

SEJAK kecil, pemuda itu sentiasa melihat datuknya mengubati orang kampung yang datang ke rumah untuk mendapatkan rawatan tradisional.

Hal itu membuatkan Aziz (bukan nama sebenar) tertarik untuk belajar ilmu tersebut supaya satu hari nanti dia boleh membantu mereka yang di dalam kesusahan.

Menurut jejaka berasal dari Seri Menanti, Negeri Sembilan itu, dia tidak menyangka bahawa belajar ilmu tersebut ada banyak persyaratan yang perlu dipatuhi.

“Keluarga saya menetap di kampung dan datuk tinggal di sebelah rumah. Oleh itu, saya selalu pergi ke rumahnya.

“Memang di kampung, datuk merupakan seorang dukun yang mewarisi ilmu perubatan sejak turun-temurun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Tambah bapa kepada dua cahaya mata itu, sejak kecil, dia sering mengikut datuknya mencari akar kayu untuk dibuat ubat dan menyiapkan barang-barang diperlukan semasa berubat.

Katanya lagi, sepanjang membesar, Aziz memang terdedah dengan persekitaran perubatan tradisional, malah semasa usia belasan tahun, dia sudah belajar cara mengurut daripada datuknya.

Bagaimanapun, pemuda berketurunan Minangkabau itu tidak pernah memahami sepenuhnya sisi mistik di sebalik seni perubatan yang diamalkan oleh datuknya itu.

“Saya pernah diberitahu bahawa keturunan datuk mempunyai saka warisan salasilah keluarga yang berasal dari Padang, Indonesia.

“Ketika itu, saya hanya dimaklumkan bahawa ia merupakan saka harimau putih yang kononnya tidak mempunyai sebarang sisi gelap atau sangkut paut pemujaan,” ujarnya.

Kongsinya lagi, dia mengetahui hal tersebut daripada perbualan saudara-mara apabila mereka berkumpul di kampung.

Oleh itu, Aziz tidak meletakkan rasa sangsi terhadap amalan perubatan yang diamalkan datuknya, malah berminat untuk belajar.

Namun, apabila semakin dewasa dan banyak perkara yang dia ketahui, timbul beberapa hal yang meragukan terhadap amalan datuknya itu.

Kata Aziz, ada beberapa rutin datuknya yang dilihat terpesong daripada nilai Islam seperti menyediakan makanan sedulang setiap kali malam Jumaat untuk diletakkan di bawah rumah, mengasapkan keris dengan kemenyan dan lain-lain lagi.

“Saya cuba tanya kepada datuk tentang apa sebenarnya saka tersebut.

“Namun, dia selalu mengelak untuk menjawab dan berkata bahawa suatu hari nanti saya akan tahu.

“Ada ketika datuk akan keluar ke hutan sendirian dan pulang keesokan harinya, sekali gus membuatkan saya tertanya-tanya apa yang dilakukannya,” jelasnya.

Pertanyaan Aziz itu akhirnya terjawab ketika datuknya uzur. Ketika itu, Aziz sudah menetap di Kuala Lumpur dan bekerja di sana.

Ketika sakit, datuknya sering bertanyakan tentang Aziz dan mahu berjumpanya.

Namun, dia tidak dapat pulang selalu kerana kesibukan kerja.

Apabila semakin uzur, datuknya semakin kerap mahu berjumpa Aziz dan berkeras mahu cucu kesayangannya pulang.

“Saya pulang ke kampung dan berjumpa datuk.

“Alangkah terkejutnya saya melihat keadaannya yang sedang tenat.

“Datuk memanggil saya duduk di sebelahnya dan mengatakan bahawa dia mahu mewarisi sakanya kepada saya,” katanya.

Namun begitu, Aziz berat hati untuk menerima, malah bapanya juga tidak setuju dia mengambil saka itu.

Malah, bapa Aziz menceritakan bahawa datuknya mewarisi saka harimau merah berantai yang diketahui merupakan amalan syirik.

Melihat keadaan datuk yang semakin teruk kerana gagal melepaskan saka kepada waris terdekat, Aziz kemudian memanggil seorang imam masjid berdekatan.

“Semasa imam datang, saya terkejut kerana menurutnya, datuk sudah lama meninggal dan badannya hanya dihuni oleh saka.

“Pada hari itu, imam mengubati datuk, badannya diletakkan di atas tanah selama sehari dan atap rumah perlu dibuka,” ujarnya.

Selepas tiga hari dirawat oleh imam, akhirnya saka itu berjaya dilepaskan dan datuknya pergi buat selamanya.
Kata Aziz, melihat perkara itu, dia bersyukur kerana tidak menerima saka tersebut dan berharap tiada lagi pewaris yang mengamalkannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI