fbpx

Pasangan ada skandal, masalah wang punca cerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASALAH kewangan selain orang ketiga menjadi alasan popular pasangan suami isteri bercerai. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Kewangan yang tidak stabil selain skandal orang ketiga di dalam rumah tangga antara dua alasan pa­ling ‘popular’ perceraian dalam kalangan suami isteri.

Peguam syarie, Suriati Ghani berkata, mengenai masalah kewangan itu, misalnya ekonomi si suami yang tidak stabil menyebabkan perbelanjaan keluarga terpaksa ditanggung isteri.

“Masalah suami yang mempunyai ekonomi tidak stabil ini, apabila berkahwin sudahnya dia meletakkan tanggungan itu kepada isteri. Lama-kelamaan tidak tahanlah maka bercerai.

“Alasan kedua ialah orang ketiga atau skandal dalam rumah tangga. Orang ketiga ini, mungkin suami bernikah diam-diam dan akhirnya diketahui isteri pertama.

“Tambahan lagi berleluasa kahwin diam-diam ini, meningkat di Siam. Selain ada juga berkahwin dalam Malaysia tanpa kebenaran,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Katanya, kebanyakan kes cerai yang difailkan di mahkamah adalah daripada golongan isteri berbanding suami.

“Suami failkan kes ada, tetapi tak banyak. Biasanya kalau suami yang failkan, antara alasannya ialah dia nak berkahwin lain dan sudah tidak mahu isteri pertama. Jalan paling senang ialah cerai dan kahwin baharu,” katanya.

Sementara itu, peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, proses bercerai kini lebih mudah dan cepat mengikut Seksyen 47 dan ia turut menyumbang kenaikan angka kes cerai di negara ini, namun ia tidak bermaksud undang-undang itu teruk.

Katanya, peruntukan itu membantu isteri-isteri yang teraniaya serta dizalimi suami dan mahkamah membenarkan perceraian tersebut dengan alasan-alasan yang munasabah.

“Dalam kes di bawah Seksyen 47 ini, jarang tak berlaku talak. Jadi bila dah cepat, ia menyumbang kepada jumlah perceraian. Suami kalau tak setuju, talak itu terpaksa dibuat oleh hakam.

“Sebagai contoh rumah tangga memang sudah hancur, tak boleh diselamatkan dan mahkamah akan tengok dengan alasan-alasan yang munasabah. Dengan Seksyen 47 ini juga, peruntukan ini untuk isteri-isteri teraniaya.

“Bukan bermaksud kita (undang-undang) itu teruk, tapi kalau kita biarkan si isteri misalnya fasakh atau taklik sampai tiga atau empat tahun lebih, ia lebih menzalimi. Jadi apa yang pen­ting ialah tidak dianiayai lagi isteri yang sudah dizalimi,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI