PETALING JAYA – Sebuah keluarga terkedu apabila langkah mengeluarkan anak perempuan mereka daripada sebuah pusat kebajikan persendirian telah dikenakan tindakan undang-undang.
Berkongsi kisah malang itu, seorang peguam, Nor Zabetha Muhammad Nor berkata, pusat kebajikan kelolaan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) telah menghantar notis tuntutan berjumlah lebih RM100,000.
Jelasnya tuntutan tersebut merangkumi tuntutan makan dan minum remaja terbabit bernilai RM72 sehari selama tiga tahun, elaun pakaian serta caj tempat tinggal termasuk api dan air.
“Saya lihat surat tuntutan, untuk setiap waktu makan sehari empat kali dia tuntut semula bayaran makanan. Segala kos tempat tinggal, pakaian harian dan pakaian dalam, segala kos sabun serta kelengkapan semua habis dituntut walaupun pakaian dalam tidak dibeli.
“Keseluruhan tuntutan adalah RM105,810 untuk 36 bulan. Lebih mahal harganya dari kos pengajian ijazah atau diploma.
“Saya pun tak tahu ke mana pergi kutipan derma untuk kanak-kanak ini. Jumlah yang dituntut umpama pemilik rumah kebajikan ini membiaya semuanya dari duit poket sendiri setiap individu,” tulisnya di laman Facebook.
Nor Zabetha berkata, beliau ada bertanyakan remaja terbabit adakah pusat tersebut menjamu pelajar di sana makan ‘lamb chop’ setiap hari kerana jumlah tuntutan makan dan minum setiap hari berjumlah RM72 lebih mahal dari kos makannya.
Jelasnya, pelajar tersebut memberitahu, mereka hanya diberikan makan bihun atau mee manakala tengah hari adalah lauk seperti makan di rumah.
“Bukan main menuntut ganti rugi mengalahkan harga makan udang, sotong di restoran mamak setiap hidangan,” katanya.
Dakwanya, pelajar di pusat tersebut telah dijadikan ‘produk’ oleh oleh pemiliknya bagi meraih derma dan apabila mereka hendak keluar dikenakan caj berganda.
“Bila saya sebut ‘awak produk’, dia terkejut dan angguk-angguk, barangkali dia rasa dikhianati kerana yang selama ini dia faham dan ‘dibasuh’ oleh pemilik NGO, pemilik inilah penyelamat kanak-kanak dan remaja terbiar, dia berkorban, dia mengenepikan duniawi.
“Baru remaja ini tahu realiti, sebenarnya kutipan derma boleh jadi ratus ribu dan jutaan ringgit tanpanya dan rakan-rakannya tak mungkin ada yang menyalurkan derma,” ujarnya.
Bagaimanapun kata beliau, pihak yang membuat tuntutan itu telah mengambil langkah mendiamkan diri selepas surat tuntutan balas dikemukan.
“Alhamdulilah, senyap terus si durian (penuntut). Kalau mahu ke mahkamah juga kami bersedia, kita sama-sama bongkarkan,”tegasnya. – KOSMO! ONLINE