fbpx

Liga Super: Kelantan FC aib dimalukan Kedah FC 1-6

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Omosuyi melepaskan rembatan ke arah pintu gol Kelantan FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebentar tadi. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

KOTA BHARU – Kelantan FC terus menjadi pasukan belasahan apabila tewas 1-6 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, sebentar tadi.

Sang Kenari memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila dihadiahkan sepakan penalti seawal minit keenam selepas bola terkena tangan pemain Kelantan FC yang disudahkan dengan cukup tenang oleh penyerang, Ifedayo Omosuyi.

KDA FC sekali lagi mengejutkan Kelantan FC apabila dihadiahkan sepakan penalti kedua selepas bola sekali lagi terkena tangan pemain tuan rumah.

Omosuyi dengan tenang menyudahkan sepakan penalti keduanya pada minit ke-26.

Dua minit kemudian, Wan Amirul Afiq Wan Ab. Rahman menambah derita Kelantan FC apabila melepaskan rembatan kencang tepat ke gawang tuan rumah.

Belum sempat kem tuan rumah bertenang, Omosuyi pantas menyambar peluang terhidang hasil kealpaan barisan pertahanan TRW untuk melengkapkan jaringan hatriknya pada minit ke-30.

Kelantan FC berusaha untuk merapatkan jurang jaringan, namun dikecewakan oleh ketumpulan jentera penyudah sekali gusmenyaksikan kedudukan kekal 0-4 sehingga tamat separuh masa pertama.

TRW akhirnya berjaya mencetak gol pertama melalui rembatan pemain gantian, Hazeman Che Ngah pada minit ke-73 selepas menerima hantaran daripada Mohamad Khalaif Mohd. Maskam.

Kedudukan 1-4 bagaimanapun tidak bertahan lama apabila bola lambungan Omosuyi yang menerima hantaran daripada Manuel Gasparini menerjah tepat ke gawang lawan untuk gol kelima KDA FC sekali gus gol peribadi keempatnya dalam perlawanan itu.

Situasi bertambah parah buat anak didik Alfredo Vera apabila bola rembatan silang Muhammad Ariff Farhan Md. Isa menerjah tepat ke gawang tuan rumah pada minit ke-87 untuk gol keenam Sang Kenari.

Keputusan itu menyaksikan KDA FC mengukuhkan kedudukan di carta ketiga sementara Kelantan FC terus menghuni tangga tercorot Liga Super. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI