fbpx

Kos bina LRT di Johor Bahru dianggar bernilai RM20 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KOS untuk pembinaan LRT di bandar raya Johor Bahru dianggarkan RM20 bilion. - GAMBAR HIASAN

ISKANDAR PUTERI – Pembinaan sistem pengangkutan transit aliran ringan (LRT) di bandar raya Johor Bahru dianggar akan menelan kos sehingga RM20 bilion untuk dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, cadangan pelaksanaan projek itu turut melibatkan jarak keseluruhan sepanjang 30 kilometer.

“Cadangan pembinaan LRT di Johor Bahru sudah lama sebenarnya, cuma perkara ini kembali berbangkit selepas berlaku kesesakan teruk di bandar raya ini. Banyak cadangan dikemukakan antaranya selain LRT termasuklah sistem Transit Aliran Bas (BRT) dan Sistem Tren Elektrik (ETS).

“Sehubungan itu, Johor akan mengangkat satu kertas kerja untuk diserahkan kepada kerajaan pusat agar LRT dapat dilaksanakan di sini. Oleh itu satu kajian menyeluruh perlu dibuat dengan mengambil kira perbezaan antara Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun cadangan awal pelaksanaannya melibatkan tiga laluan dikenali sebagai Laluan Tebrau, Laluan Skudai dan Laluan Iskandar Puteri dengan jarak sepanjang antara 9 atau 10 kilometer masing-masing,” katanya kepada pemberita di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mohamad Fazli turut memberitahu, satu mesyuarat berhubung perkara itu akan diadakan pada 30 November ini dengan melibatkan semua agensi kerajaan negeri terlibat.

“Kajian awal memang sudah ada dibuat oleh beberapa agensi berbeza, namun kita masih perlu kajian menyeluruh bagi memastikan kaedah terbaik dipilih untuk dilaksanakan.

“Tujuan utama pembinaan LRT ini adalah untuk membantu penyuraian aliran trafik khususnya di sempadan negara apabila pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) menghubungkan Johor Bahru dan Singapura siap pada 2027 kelak,” jelasnya lanjut.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI